Saturday, 17 May 2014

Power Of Wife

ISTERI SEPARUH MASA VS ISTERI SEPENUH MASA
EPISOD 1

"AWAK tahu buat kerja atau tak tahu Imelda?" Tengku Ikhwan sengaja meninggikan suara kepada Amel Imelda. Sengaja nak tengok bahu budak tu terangkat sebab tengkingan dia. Poyo!
               "Saya tahu, tuan." jawab Amel Imelda perlahan, dia tertunduk dan pandangan terlindung dek anak rambutnya yang panjang.
                "Kalau awak tahu buat kerja, takkan isi dokumen ni boleh salah? Atau awak sengaja nak buat saya marah?" marah Tengku Ikhwan. Suka sangat menjawab minah ni, tak pernah nak diam kalau kena marah tu! Detik hati Tengku Ikhwan.
               "Maafkan saya tuan, tapi saya rasa apa yang saya buat tu dah betul. Cuma mungkin ada yang saya tak perasan agaknya." balas Amel Imelda, dia cuba untuk pertahankan diri. Aku rasa dah cukup betul dah tadi, apa yang salahnya. Mamat ni memang tak pernah puas hati dengan aku ke apa!
              "Betul sangat ke ni?" Tengku Ikwan melemparkan dokumen itu diatas mejanya betul-betul didepan Amel Imelda. 
               Pandangan Amel Imelda mengecik, geram sudah sampai di kepala. Ada aku cekik mamat ni sampai tertelan anak tekak ni nanti!
               "Cuba awak periksa balik, dari muka depan sampai akhir. Ejaan tonggang terbalik! saya nak awak betulkan semua ni, selagi tak betul awak jangan nak keluar dari pejabat ni!" arah Tengku Ikhwan dengan wajah angkuhnya.
               "Baik tuan." Amel Imelda merampas dokumen yang berada diatas meja itu dan dibawah keluar. Dia menghempaskan tubuh diatas kerusi pejabatnya. Bengang kuasa diri.
                  "Apalah yang tak kena dengan mamat tu! Semuanya aku salah, dia tu betul sangat ke? Menyampah betullah!" tempelak Amel Imelda.
                 Rungutannya terhenti selepas mendengar ketukan di dinding bahagian kanannya, dengan perlahan dia menoleh ke cermin kaca yang boleh menampakkan boss poyo itu.
                 Bengang bertambah bila melihat Tengku Ikhwan bercakap 'I watch you'. Walaupun tidak dapat didengar, tapi gerak mulut dan tangan Tengku Ikhwan cukup menyatakan percakapannya.
                  Amel Imelda menjeling kasar, dan meneliti semula dokumen-dokumen tebal itu satu persatu. 

PINTU diketuk dan dibuka oleh Aisya, sahabat baik Amel Imelda. Aisya berjalan menghampiri meja kerja sahabatnya dan duduk dikerusi yang tersedia dihadapan meja pejabat itu.
                "Engkau dah tak tahu time lunch ke yank? Beruban aku tunggu dekat luar." perli Aisya, kelakar pula dia melihat muka Amel Imelda yang mencuka itu, dengan sanggul rambut yang dah tercabut.
                  "Boss kesayangan kau tulah punya pasal, sebab tu aku dekat sini lagi." jawab Amel Imelda tanpa memandang, pandangannya terfokus kepada dokumen-dokumen itu.
                  "Kenapa ni yank, cuba cerita dekat aku." 
                  "Dia cakap, dokumen yang aku bagi ni, tak betul! Dia suruh aku check semua ni, sampai habis. Selagi tak habis, aku tak boleh keluar dari pejabat ni. Kau tahu?" terang Amel Imelda, dia memandang sekilas ke bilik bossnya, kosong! Pergi makanlah tu.
                   "Melampaunya, nonsense sungguh!" marah Aisya.
                   "Tahu pun kau. Aku pun tak tahulah, apa yang dia tak puas hati dengan aku!" Amel Imelda menghentikan kerjanya seketika.
                    "Tapi kau tu, janganlah sampai serabut macam tu sekali yank. Tak pernah aku tengok kau buka sanggul selama kerja dekat sini." 
                    Amel Imelda menyanggul semula rambutnya dengan kemas. "Aku sakit hati betullah."
                    "Ni, sakit hati tu memang sakit hati. Abang kau macam mana? Dia masih sakit lagi ke?" Aisya tiba-tiba teringatkan Amat Iman abang kepada Amel Imelda.
                     "Dia masih sakit lagi Sya, makin teruk. Sebab dialah aku terus bertahan dekat sini, kalau tak aku dah lama berhenti. Ubat-ubat dia mahal Sya. Sampai sekarang aku tak dapat menyimpan, sebab beli ubat-ubat dia. Aku risau sampai waktu pembedahan nanti, aku tak dapat bayar." airmuka Amel Imelda sudah berubah sedih.
                 "Sabar ye Imelda, dah bahagian kau. Aku faham perasaan kau." Aisya mengenggam jemari sahabatnya.
                 "Bila aku tengok dia yang tertidur dekat sofa, tunggu aku balik. Aku jadi rindu dekat umi dan ayah. Kalau mereka ada dekat sini, mungkin aku akan lebih kuat." keluh Amel Imelda, airmatanya sudah bergenang.
                  "Sabar ye Imelda, kau pun tahukan. Umi dan ayah kau susah di Melaka, mereka nak jaga adik-adik kau yang masih belajar. Lagipun kos sara hidup di KL ni makan belanja yang banyak. Mesti ayah kau tak mampu." ujar Aisya, dia dapat memahami apa yang Amel Imelda halami.
                   "Angah pula tahun ni, SPM. Uda nak ambil lesen motor, Baby pula banyak sangat aktiviti disekolah. Umi dan ayah ada tanya aku tentang duit, mereka minta aku bagi lebih sikit dari bulan-bulan sebelum ni. Sebab banyak pembelajaan nak guna tahun ni." Amel Imelda tak malu untul bercerita dengan kawannya ini, kawan yang bersusah payah dengannya sejak dari Melaka.
                  "Ya Allah Imelda, besarnya dugaan kau." Aisya mengeluarkan beberapa not dalam beg duitnya dan dihulurkan kepada Amel Imelda.
                   "Buat apa dengan duit ni Sya?"
                   "Kau ambillah ni, untuk bantu umi dan ayah kau. Mungkin ni tak banyak, tapi aku harap dapat kurangkan beban kau." Aisya ikhlas memberinya.
                   "Tak apalah Sya, dah banyak kau tolong aku. Duit yang sebelum ni pun, aku tak bayar lagi. Tak apalah Sya, nanti kau ikhtihar cara lain. Aku cuma nak luahkan pada kau je." Amel Imelda menolak not itu.
                   "Aku tahu kau amat perlukan duit ni sekarang Imelda. Apalah nak dibezakan pemberian aku dengan peluang kerja ni yang kau tawarkan pada aku dulu. Anggap jelah, ni amal jariah aku untuk adik-adik kau." Aisya meletakkan diatas tangan Amel Imelda, airmatanya bergenang.
                   "Hanya Allah swt yang dapat balas jasa kau ni Sya. Terima kasih banyak-banyak." ujar Amel Imelda perlahan, airmatanya menitis, dia menunduk.
                   Aisya berdiri dan berjalan menuju kesebelah Amel Imelda, dia memeluk bahu gadis itu. 
                 Tiba-tiba pintu dibuka dari luar. Mereka berdua pantas memandang kearah muka pintu.
                 "Kamu berdua ingat pejabat saya ni perlukan pelakon ke? Saya suruh kamu buat kerja atau suruh kamu berdrama macam ni?" marah Tengku Ikhwan. Matanya mencerlung kearah Amel Imelda.
                 "Maaf tuan." Aisya berlalu keluar dengan pantas.
                 Tengku Ikhwan menghampiri Amel Imelda. Dia merenung wajah gadis itu yang putih gebu, bibir mongel gadis itu menjadi sasaran matanya mendarat. 
                 "Awak masih nak bekerja dengan syarikat saya atau tidak Amel Imelda?" soal Tengku Ikhwan lembut.
               "Masih tuan." jawab Amel Imelda sepatah.
               "Kalau awak masih nak bekerja disyarikat ni, buat cara nak bekerja! Saya tak bayar awak untuk berbual-bual! Faham?!" tempelak Tengku Ikhwan.
              "Faham tuan." nada suara Amel Imelda jelas sebak. Dia memang mudah menangis bila ditengking-tengking.
              "Marah sikit nak menangis, marah sikit nak menangis!" rungut Tengku Ikhwan, dia berlalu keluar dari bilik dan menghempas pintu bilik itu. Terjungkit sedikit bahu Amel Imelda kerana terkejut mendengar bunyi hempasan itu.

TENGKU AJIHAH mendapatkan suami tercinta yang pulang dari tempat kerja dengan wajah yang kusam dan terlihat keletihannya.
              "Sayang mesti penatkan? Tak apa, sayang pergi mandi dulu. Manja dah siapkan makan malam untuk kita." ujar Tengku Ajihah lembut.
                  "Okey, Manja." Tengku Ikhwan mengucup lembut dahi isterinya. Dia menghulurkan briefcase kepada Tengku Ajihah sebelum berlalu keatas.
                  Sesudah mandi dan lengkap dengan seluar jeans serta t-shirt berkolar warna merah, Tengku Ikhwan turun dan duduk di meja makan bersama isteri tercinta.
                 Tengku Ajihah cantik dengan blouse ungu dan kain labuh berwarna hitam. Rambutnya yang ikal dibiarkan lepas ketepi, kerana itu kesukaan Tengku Ikhwan.
                  Mereka duduk bersebelahan dan menikmati santapan malam. Tengku Ikhwan benar-benar gemar dengan masakan isterinya ini, tapi bukan selalu dia berpeluang menikmati masakan isterinya. Hanya sesekali, hari ini isterinya dapat masakan untuk dia kerana restoran isterinya tutup untuk pembersihan menyeluruh. Berkesempatanlah.
                  "Sayang dah dapat cari?" soal Tengku Ajihah lembut, kerana dia tahu soalan itu amat dibenci suaminya.
                 "Tak lagi." jawab Tengku Ikhwan ringkas. Malas nak berbahaskan soal itu.
                 "Kenapa tak? Saya tahukan, Bonda nak sangat cucu." soal Tengku Ajihah lagi.
                  "Memanglah Bonda perlukan cucu, tapi perlu ke nak lukakan hati Manja dengan suruh Sayang cari isteri baru?" suapan sudah terhenti, marah yang mula menguasai diri Tengku Ikhwan.
                   "Sayang, dah lima tahun kita kahwin. Tapi, Manja masih tak mampu beri zuriat pada Sayang. Jadi tak salahkan kalau Sayang kahwin lain, Sayang mampu, dari segi zahir dan batin serta kewangan." desak Tengku Ajihah. Dia tahu semua itu dia lakukan hanya untuk Bonda Tengku Ikhwan. Hatinya sendiri tidak mampu menerima.
                  "Manja pun sama macam Bonda? Sayang tahu, anak adalah rezeki. Tapi kalau Allah belum nak bagi, kita tak boleh tunggu ke? Kenapa sampai Sayang nak kena kahwin lain? Manja tak cintakan sayang ke?" Tengku Ikhwan merenung isterinya tajam.
                   "Manja cintakan Sayang, Manja sayangkan Sayang. Tapi itukan impian Bonda, tak salahkan kalau kita berkorban sedikit untuk Bonda? Bonda dah lahirkan Sayang, dengan penuh keperitan dan kesakitan, Bonda beri pendidikan pada Sayang sehingga Sayang jadi manusia yang berguna macam ni. Terlalu banyak pengorbanan. Jadi apalah sangat pengorbanan kita jika nak dibandingkan dengan pengorbanan Bonda, Sayang?" pujuk Tengku Ajihah lembut.
                "Yelah-yelah. Nanti tahulah Sayang nak cari." Tengku Ikhwan mengalah dengan kata-kata isterinya. Itulah Tengku Ajihah, pandai melenturkan hatinya dengan kata-kata.
                "Dekat pejabat Sayang tak ada? Kan ramai pekerja wanita, tak kan seorang pun tak berkenan dihati?" soal Tengku Ajihah penuh semangat, dihatinya hanya Allah yang tahu.
                   "Dekat pejabat, adalah seorang perempuan ni. Tapi Sayang tak fikir lagilah pasal benda ni semua. Bagi Sayang masa ok." pinta Tengku Ikhwan.
                   Tengku Ajihah mengangguk lembut dengan senyuman.

TENGKU IKHWAN masuk kedalam biliknya dengan fikiran yang agak serabut, serabut mengingatkan pesanan isteri kesayangannya pagi tadi. Nur Ijah tidak berhenti mengingatkan dirinya tentang isteri baru. 
                 Dia melepaskan keluhan berat sebaik sahaja punggung mencecah kerusi. Pandangannya terarah kepada dinding kaca yang berada di bahagian kirinya. Rasa hairan mula menguasai diri, bila pembantu peribadinya masih belum masuk kerja. Selalunya minah ni, dah masuk dulu sebelum aku. Mana pula dia pergi.
                   Tengku Ikhwan keluar dari pintu bilik dan mendapatkan Aisya, pekerja merangkap musuh ketat kepadanya. 
                  "Imelda mana?" soal Tengku Ikhwan, pandangannya merata seluruh pejabatnya.
                  "Dia tak masuk hari ni, Tuan." jawab Aisya selamba. Matanya tertumpu pada skrin komputer.
                  "Aku ada kedalam komputer tu, tak boleh pandang aku dekat sini? Tak cukup kacak ke aku ni, sampai kau nak pandang komputer tu macam tu? Siapa yang bagi dia cuti suka-suka hati? Habis kalau dia cuti, macam mana aku nak tahu jadual aku hari ni???" pekik Tengku Ikhwan. Cakapnya pula amat laju, sehingga membuatkan Aisya tercengang memandangnya.
                 "Dia emergency leave, tuan." jawab Aisya sepatah.
                 "Kenapa?"
                 "Abang dia sakit teruk, terpaksa menjalani pembedahan hari ini." terang Aisya.
                 "Abang dia sakit apa?" soal Tengku Ikhwan cemas.
                 "Abang dia menghidap kanser buah pinggang."
                 "Dia ada duit ke nak bayar kos bedah abang dia? Atau dia pakai hospital kerajaan?" soal Tengku Ikhwan lagi.
                 "Dia terpaksa bertolak ke hospital Pantai pagi tadi, sebab hospital tu je yang dekat dengan rumah dia. Soal duit tu, Imelda memang mengalami masalah kewangan." Aisya menjelaskan segalanya kepada Tengku Ikhwan, namun cepat dia menggigit bibir kerana telah terlepas cakap.
                 Tengku Ikhwan terus berlalu keluar dan menuju ke tempat parkir kereta. Dia bergegas kehospital Pantai yang dimaksudkan Aisya tadi.

Tiba diruang menunggu hati manusianya tersentuh disaat melihat wajah sugul Amel Imelda yang hanya memakai baju tidur pyjamas berwana merah bertali halus. Dada dan lehernya yang putih gebu amat terserlah. Gadis itu termenung merenung lantai, rambutnya diikat tinggi.
               Tengku Ikhwan menghampiri gadis itu dan duduk disebelah gadis itu tanpa bersuaran.
               Amel Imelda yang terkejut melihat kehadiran Tengku Ikhwan, cepat menepis airmatanya, "maafkan saya tuan, saya terpaksa buat emergency leave tanpa beritahu tuan tadi. Saya minta maaf banyak-banyak." 
               "Tak apalah Imelda, saya faham. Macam mana dengan keadaan abang awak?" soal Tengku Ikhwan lembut. Selama ini dia tak pernah bersuara dengan nada tenang begitu kepada Amel Imelda.
              "Abang saya masih lagi dalam bilik bedah." jawab Amel Imelda perlahan. 
              Seorang jururawat menghampiri Amel Imelda dengan wajah yang serba salah.
              "Cik, kami nak tanya berkenaan dengan pembayaran bil bedah abang cik. Cik nak bayar sekarang ke?" soal jururawat itu lembut.
              Amel Imelda berdiri dan menghadap jururawat itu. "Boleh tak kalau saya bayar kemu...." kata-kata Amel Imelda terhenti bila Tengku Ikhwan bersuara.
              "Saya akan uruskan bil pembedahan pesakit, rawatan-rawatan dan ubat-ubat pesakit tu sekejap lagi." jawab Tengku Ikhwan tegas.
              "Baiklah, terima kasih." tutur jururawat itu lembut sebelum berlalu dari situ.
              "Tuan, saya..."
              "Tak apa Imelda, saya tolong pun ada sebab." jawab Tengku Ikhwan tenang, dia merenung wajah gadis itu.
              "Maksud tuan?" soal Amel Imelda cepat.
              "Tiada yang percuma dalam dunia ini." Tengku Ikhwan memberi senyuman sinis.
              "Saya akan balik semua duit-duit tuan tu." jawab Amel cepat.
              "Apa yang saya bayar pada pihak hospital ni nanti, mengatasi gaji awak selama sepuluh tahun. Awak nak kerja seumur hidup tanpa gaji ke?" soal Tengku Ikhwan sinis.
              "Saya akan usaha cara lain." jawab Amel Imelda perlahan.
              "Saya ada cara lain." 
              "Cara apa?" soal Amel Imelda pantas.
              "Nikah! Saya bayarkan semuanya sebagai ganti awak kahwin dengan saya." jawab Tengku Ikhwan lembut.
               Pandangan Amel Imelda mengecil, hatinya panas. Dadanya mula berombak, "Tuan ingat saya apa? Tuan nak saya jual diri saya ke apa? Tuan ingat saya tak ada maruah?" Amel bersuara kasar namun masih perlahan dan dapat didengari hanya dia dan Tengku Ikhwan.
              "Terpulang pada awak. Saya hanya akan bayar, sebaik awak jawab setuju pada saya. Jika tidak awak usaha cara lain." Tengku Ikhwan masih berani bersuara.
              "Terima kasih atas tawaran tuan, tapi saya belum gila nak terima tawaran gila ni!" Amel Imelda memusingkan tubuh membelakangi Tengku Ikhwan dan hendak berjalan meninggalkan lelaki itu, tapi langkahnya terhenti bila pinggang dan bahunya dipahut lelaki itu.
                "Awak fikir baik-baik Imelda, awak amat perlukan duit tu untuk abang awak. Dalam masa sempit macam ni, awak dah tak ada pilihan." tenang Tengku Ikhwan berbisik ditelinga gadis itu, sempat dia terhidu bau wangi dari rambut gadis itu.
                 Amel Imelda menahan sebak, dia termenung jauh. Airmatanya menitis. Dengan pantas dia menolak tubuh Tengku Ikhwan yang memeluknya kemas dari belakang. Dia menoleh dan membalas tenungan Tengku Ikhwan. 
                 Tengku Ikhwan jelas dapat melihat air muka kekalahan diwajah Amel Imelda.

TENGKU IKHWAN merebahkan kepalanya diatas perut si isteri tercinta, dia mengenggam jemari Tengku Ajihah kuat. Dengan perlahan dia mengucup jemari itu dengan airmata yang menitis. Dia tahu makluman dia sebentar lagi akan membuatkan hati isterinya terluka besar.
               Dia berasa terlalu bodoh. Selama ini, dialah insan yang begitu menjaga hati si isteri, sedikit pun dia tidak mengizinkan hati Tengku Ajihah terluka. Namun kini, dialah insan yang akan membuat hati isterinya luka, luka yang bukan sebarang luka, tetapi luka yang begitu besar.
                "Sayang, Manja nak tanya pasal isteri baru. Sayang dah dapat?" soal Tengku Ajihah lembut, dia mengusap lembut kepala Tengku Ikhwan. Kasihnya pada Tengku Ikhwan hanya diketahui Allah swt.
               "Perlu ke Sayang beritahu Manja?" soal Tengku Ikhwan dengan nada suara yang sebak.
               Tengku Ajihah menolak tubuh Tengku Ikhwan agar lelaki itu duduk supaya dia dapat melihat wajah suaminya. "Kenapa ni, Sayang?" soal Tengku Ajihah cemas, dia tidak pernah melihat wajah sedih suaminya selama lima tahun mereka berkahwin.
               "Sayang dah....jum..jumpa orangnya Manja." jawab Tengku Ikhwan perlahan. Wajahnya begitu sedih, dia memegang pipi gebu isterinya. Dia tahu, saat ini hati 'Manja'nya pasti sedang menangis.
                Tengku Ajihah tersenyum manis kepada suaminya. Dia menepis lembut airmata yang menitis dipipi Tengku Ikhwan. Dia tahu suaminya takut dia terluka, tapi dia juga tahu suaminya amat mencintai dirinya. Kerana itu dia tidak takut untuk melepaskan suaminya pada insan lain. Namun apakah hatinya mampu bertahan?
              "Manja nak jumpa dia, Manja nak ucap terima kasih pada dia. Izinkan Manja jumpa dia Sayang." ujar Tengku Ajihah lembut.
               Tengku Ikhwan mengangguk dan mengucup kuat dahi isterinya, tubuh Tengku Ajihah diraih kedalam pelukannya. Dia mencari kedamaian.

TENGKU AJIHAH duduk bersilang kaki dimeja restoran mewah itu menanti kedatangan bakal madunya. Dia tidak tahu cara apa yang akan dia lakukan untuk berhadapan dengan bakal isteri muda suaminya, namun dia mencuba mencari kekuatan.
               Dari jauh Amel Imelda sudah dapat melihat seorang gadis yang cantik bertubuh gebu, tinggi lampai, bertudung ungu, berbaju kemeja warna putih dan ber'palazzo' warna ungu serta berkasut tinggi. Kelihatan sangat feminin. Wajah putih bersih gadis itu ditatap puas.
               Jantungnya berdegup kencang disaat menghampiri Tengku Ajihah  Ketika berdiri didepan gadis itu, dia hanya tertunduk.
              "Silakan duduk." arah Tengku Ajihah tegas. Dia memerhati Amel Imelda dari atas hingga bawah. Seorang gadis yang bertubuh langsing, agak rendah darinya, berkulit putih merah, memiliki mata hitam berwarna hazel grey, hidung yang mancung, bibir yang mongel, kening yang berbentuk dan berleher jinjang. Agak mempersona dengan memakai kain labuh dan kemeja dress yang jarang menutupi inner didalam, dan menyanggul rambut dengan agak kemas.
              "Terima kasih." ujar Amel Imelda perlahan, rasa tak selesa benar-benar menguasai diri bila direnung atas bawah macam tu oleh Tengku Ajihah
              "Umur berapa?" soal Tengku Ajihah  wajahnya memang kelihatan serius, benar-benar menambahkan ketidak selesaan pada Amel Imelda.
               "Dua puluh." jawab Amel Imelda sepatah.
               "Mudanya! Dah sedia nak pikul tanggungjawab sebagai seorang isteri? Dah sedia nak beri suami akak anak? Dan sedia nak jadi isteri yang terbaik untuk suami akak?" soal Tengku Ajihah lantang. Dalam hati dia mengutuk dirinya juga, dia sendiri berkahwin dengan suaminya ketika umur dia lapan belas tahun, jauh lagi muda dari Amel Imelda.
             "Saya....."
            "Oh, lupa. Kamu berkahwin dengan suami akak mengikut kontrak. Ni kontraknya." dia menghulurkan sebuah dokumen kepada Amel Imelda.
             Amel Imelda amat terkejut dan mengambil dokumen itu dengan perlahan.
            "Akak nak kau kahwin mengikut kontrak ni, akak beri tempoh selama satu tahun. Dalam masa satu tahun, kau kena lahirkan seorang anak untuk kami. Selepas melahirkan kamu dan suami akak perlu berpisah! Ikut haluan masing-masing, faham?" terang Tengku Ajihahh tegas.
            Amel mengangkat kepala dan memandang Nur Ijah dengan air muka yang sangat-sangat terkejut. Dia tidak menyangka sebegini perit laluan hidupnya.

"MANJA, betul ke semua ni?" soal Tengku Ikhwan seakan tidak percaya setelah habis membaca dokumen kontrak perkahwinan dia dan Amel Imelda.
             "Yelah Sayang, ada bantahan?" soal Tengku Ajihah manja, dia memeluk lengan suaminya.
             Tengku Ikhwan hanya menggeleng perlahan, dia tidak menyangka akan memberi kesukaran didalam hidup seorang wanita bernama Amel Imelda.

Lirik Lagu Mohon - Asmidar

Lara hati
Kerna kasihku tak bererti
Walau hidup aku seribu tahun lagi

Kau ku cinta
Sungguh tiada bandingannya
Hati ini hanya dirimu saja

Namun cinta kau dan aku
Takkan bersatu mmmmm.....
Aku rebah tak terdaya melawan takdirNya

Korus
Aku rela di dunia
Cinta ini tak ada akhirnya
Kau tercipta bukan untukku
Selamanya hingga akhirnya waktu

Kau pergilah oh sayangku
Kan ku tunggu saat kembalimu
Mohon di syurga kita bertemu dan bersatu
Selamanya milikmu
Oh kasihku

Lara hati
Kerna kasihku tak bererti
Walau hidup aku seribu tahun lagi

Kau ku cinta
Sungguh tiada bandingannya
Hati ini hanya dirimu sahaja

2 comments:

Unknown said...

oh...kawin kontrak selama setahun...utk melahir kn zuriat tengku poyo tuh...cian plak kat melda...best dik...

Kehidupanku Didunia Ini said...

THNKZ KAK COZ FOLLOW <3